Make your own free website on Tripod.com

SEKOLAH MENENGAH ISLAMIAH TAWAU

Jalan Utara, 91000 Tawau. Tel / Fax : 089-772761, smit@tm.net.my

Sejarah Sekolah

Islamiah Tawau dibina hasil usaha Persatuan Islam Tawau ( PIT ). Persatuan ini telah mendapat sebidang tanah kira-kira 3.98 ekar. Pembinaannya telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Haji Abu Bakar Titingan serta beberapa orang AJK yang lain. Kos pembinaan dibiayai oleh PIT melalui sumbangan masyarakat Tawau.

Dengan kerjasama USIA, sekolah ini siap dibina pada tahun 1970 dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu Yang Amat Berhormat Tun Datu Haji Mustafa bin datu Harun pada 29hb April 1970. Sekolah ini merupakan sekolah agama yang pertama di negeri Sabah.

Pada awal pembinaan, sekolah ini berbentuk huruf L dengan 14 buah bilik darjah. Sekolah ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Tadika, Rendah dan Menengah di bawah satu pentadbiran. Menjelang tahun 1983, pentadbiran sekolah telah dibahagi kepada dua. Sekolah Menengah dan Tadika ditadbir oleh PIBG manakala Sekolah Rendah ditadbir oleh MUIS. Pada peringkat menengah, guru-gurunya dibekalkan oleh MUIS. Pada akhir 1980-an di bawah seliaan Sekolah Menengah telah dibina satu bangunan untuk penginapan pelajar-pelajar puteri ( ASPURI ) tajaan negeri Kuwait.

Pada awal Jun 1993, pembinaan bangunan tambahan telah dimulakan untuk menampung kekurangan bilik darjah kepada pelajar Sekolah Menengah yang semakin meningkat setiap tahun. Bangunan ini mempunyai 8 buah bilik, dua daripadanya bilik guru dan bilik pengetua. Pada 14 Jun 1994, bangunan tersebut telah dirasmikan oleh YAB Datuk (dr) Hamid Osman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu. Dengan siapnya bangunan tambahan ini, maka sekolah ini kini berbentuk huruf U.

Pada tahun 1995, pembinaan bangunan baru bagi Sekolah Rendah dengan kapasiti 6 bilik darjah, 2 bilik guru, bilik guru besar, tandas dan kantin.

Lokasi sekolah terletak 1 km dari pusat bandar dan merupakan satu-satunya sekolah agama di daerah ini yang menawarkan pendidikan agama ( arab ) peringkat menengah ( SMA ) di samping akademik PMR dan SPM.